Wednesday, February 3, 2010

Artikel Berkaitan Sihir - 3

Proses Membuktikan Amalan Sihir Mesti Jelas
- Mohamad Isa Abd Ralip

Posted on December 24th, 2009 in Syariah

Hakim perlu bantuan pakar, saksi sebelum putuskan hukuman ke atas pengamal ilmu hitam

AMALAN sihir dalam melakukan kegiatan jenayah dilihat semakin meruncing dalam masyarakat masa kini dan seterusnya membuka mata banyak pihak betapa serius perkara ini dan memerlukan penyelesaian segera. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.


Sihir yang diamalkan dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu bagi tujuan melindung diri, mendapatkan kelebihan, mengawal dan memusnahkan musuh serta meramal masa hadapan. Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti saka yang menggunakan jin atau syaitan (kadam, toyol, roh orang mati, hantu), azimat dan menggunakan jampi serapah.


Malah amalan sihir ini turut berlaku di dalam perbicaraan kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dan kesannya sihir boleh menghasilkan natijah luar biasa, menarik, mengelirukan dan kadangkala berupaya mengatasi masalah manusia selepas pelbagai ikhtiar dilakukan. Amalan sihir ini terus diamalkan secara tersembunyi atau terang-terangan seolah-olah ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi usaha untuk menghalangnya seumpama tidak wujud dan jelas.


Amalan itu berleluasa kerana tiada undang-undang yang diperuntukkan bagi mengekang masalah ini seterusnya tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap orang yang menggunakan sihir dan pengamalnya. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan pada `Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, baru-baru adalah sesuatu yang boleh diterima dan diperhalusi. Namun begitu, kajian menyeluruh dengan pakar dalam bidang ini amatlah dialu-alukan bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.


Penggubalan undang-undang berkaitan sihir ini adalah suatu yang mendatangkan kebaikan kerana ia dapat mengekang amalan sihir ini daripada berterusan dan digunakan sewenang-wenangnya dalam masyarakat.


Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana melalui peruntukan undang-undang ini dapat membuktikan ama lan sihir itu berlaku sedangkan amalan sihir adalah suatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan bersifat abstrak. Dalam hal ini, pandangan pakar amatlah perlu bagi membantu hakim dalam membuat keputusan.


Firman Allah maksudnya, “Oleh itu, bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya” (Al-Nahl:42).


Ayat itu menyarankan kepada kita agar bertanya kepada orang yang mengetahuinya. Inilah yang dikatakan meminta pendapat “ra’yu al-khabir” di dalam prinsip Undang-undang Keterangan Islam.


Persoalan lain pula akan timbul iaitu siapakah pakar-pakar berkenaan? Siapa yang akan menentukan bahawa mereka adalah pakar? Adakah wujud badan yang pakar dalam hal itu?


Antara kes yang boleh dirujuk adalah kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman di dalam kes cerai talak tiga yang mana perayu mendakwa bahawa beliau pada ketika itu tidak tahu apa yang dilakukannya kerana terkena sihir, ada barang sihir dan hanya sihat setelah mendapat rawatan daripada dukun.


Ia perbuatan yang dikeji di dalam hukum Islam. Perayu menyatakan bahawa selepas beliau ke kantin di sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci dan memukul isterinya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya. Dalam pada itu, perayu dengan tidak sedar diri telah membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan beliau berusaha berubat cara kampung. Menurut orang yang mengubatinya (dukun), beliau terkena sihir kerana berjaya mendapatkan kantin itu.


Berdasarkan rekod perbicaraan, hakim memutuskan hukumannya berdasarkan kepada ikrar yang dibuat oleh perayu yang ia sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Walaupun ikrar adalah salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum ikrar itu diterima ia hendaklah dipastikan ia dilakukan secara mutlak tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ia dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlak sebagaimana ulama berpendapat bahawa ikrar itu tidak sah.


Kes di atas adalah antara contoh kes kekeluargaan yang membabitkan sihir yang dilaporkan. Situasi sebenar yang dapat kita lihat di dalam kes amalan sihir adalah rumit dan memerlukan penelitian yang khusus terutama daripada hakim yang akan membuat keputusan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi menangani masalah yang membabitkan sihir.


Saranan paling tepat adalah kes itu didengar dan dibicarakan sewajarnya dengan memanggil saksi untuk memberikan keterangan, pendapat “ra’yu al-khabir” sama ada benar atau tidak sihir digunakan dengan membincangkan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diikrarkan.


Peruntukan undang-undang berkaitan sihir ini perlu diwujudkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang berkenaan, ia akan membolehkan individu, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.


Perjumpaan antara pengamal undang-undang, ahli agama, ahli akademik dan badan tertentu penting bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah ini seterusnya boleh diusul dan dibahaskan dengan terperinci pada peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional dan akidah umat Islam.


Peguam Syarie Menulis

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20091222234832

Artikel Berkaitan Sihir - 2

Undang-undang, Mahkamah dan Amalan Sihir
- Mahyuddin Ismail

Posted on January 24th, 2010 in Syariah
* Asalnya penulisan ini ialah komen yang ditulis oleh Sdr. Mahyuddin Ismail. Saya rasa ianya elok dikongsi bersama dan diberikan lebih perhatian.

Desakan agar diwujudkan undang-undang jenayah sihir sebagaimana yang disepakati dalam Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis, anjuran Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 telah memberi satu isyarat kepada pihak berkuasa betapa perlunya kegiatan jenayah sihir ditangani melalui mekanisma perundangan. Perkara ini telah mendapat respon yang positif dari orang ramai dan kebanyakkannya bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun, adakah jenayah sihir hanya berleluasa di kurun ke 20 ini dan adakah usaha untuk mewujudkan undang-undang sebegini merupakan satu perkara yang baharu?


Ilmu sihir adalah antara ilmu tertua yang diamalkan di dunia dan ia telah mula wujud sekitar 5000 tahun sebelum Masihi dan masih diamalkan secara meluas pada hari ini. Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir tersebar luas dalam kehidupan masyarakat termasuk para pemerintah serta keluarga diraja. Menurut Walter Farber dalam Witchcraft, Magic and Divination in Ancient Mesopotamia, amalan sihir pada ketika itu dipelopori oleh golongan bangsawan yang digelar āšipu. Menurut sarjana Islam pula, ilmu sihir yang diamalkan di zaman tersebut adalah berdasarkan pergerakan bintang dan planet (dikenali sebagai sihir Bani Kaldan) dan ianya antara kategori sihir yang hebat dan kuat. Mereka mempunyai kebolehan untuk mengubah manusia menjadi haiwan seperti keldai atau anjing dan terbang di udara dengan menunggang batang penyapu. Menyedari kesan negatif yang ditimbulkan melalui amalan sihir, maka Raja Hammurabi (1810-1750) menetapkan prosedur dan hukuman ke atas seseorang yang menuduh seseorang yang lain mengamalkan ilmu sihir. Undang-undang tersebut boleh dilihat tercatat dalam peraturan No. 2, Kod Hammurabi yang dipamerkan di Muzium Louvre, Paris.


Tamadun Mesir Kuno pula dianggap sebagai tempat berasalnya segala ilmu yang ghaib yang ganjil. Pengaruh sihir dalam tamadun ini adalah sangat meluas meliputi bidang perubatan hinggalah kepada pemerintahan. Catatan sejarah juga menyatakan bahawa hampir kesemua penduduk Mesir ketika itu memakai tangkal dan azimat. Pemerintah dan penguasa kerajaan juga turut menggunakan dan mengamalkan ilmu sihir bagi mengekalkan dan mengukuhkan kedudukan mereka. Antaranya ialah Niktanibas, seorang raja dan tukang sihir yang sangat kejam, yang memerintah Mesir hingga tahun 358 sebelum Masihi. Memandangkan pemerintah dan raja-raja turut terlibat dalam amalan sihir, maka pelaksanaan undang-undang untuk membanteras kegiatan sihir merupakan satu perkara yang mustahil. Justeru itu, pengutusan Nabi Musa a.s. yang dilengkapi dengan beberapa mukjizat adalah cara paling berkesan untuk menghadapi dan mengatasi kejahatan ilmu sihir yang bermaharajalela ketika itu.


Pencapaian bidang perubatan dalam tamadun Mesir yang banyak menggunakan unsur-unsur sihir turut mempengaruhi kaedah perubatan tamadun Yunani. dikatakan bahawa tukang-tukang sihir pada zaman tersebut mampu menyeru roh-roh orang yang sudah mati untuk menimbulkan permusuhan dan kekacauan dalam masyarakat. Ketika pemerintahan Julius Caesar, beliau telah memperkenalkan The Twelve Tables yang memperuntukan: “That it to be decided that persons who are addicted to the art of magic shall suffer extreme punishment. Magicians themselves shall be burned alive.” Undang-undang ini dikuatkuasakan secara berterusan pada zaman empayar Byzantin dan keseluruhan Eropah sehingga akhir kurun ke 17. Selain itu, undang-undang tersebut juga menetapkan hukuman bagi sesiapa yang menyanyikan lagu-lagu berunsur pemujaan yang dikenali sebagai malum Carmen incantare dan mereka yang cuba untuk mencuri hasil tuaian menerusi jampi mantera.


Sihir dalam tamadun Parsi juga tersebar dan mendapat tempat dikalangan rakyat dan pemerintah. Dikatakan bahawa panglima tentera Parsi bernama Rastam pernah melihat bintang bagi menilik nasib bala tenteranya ketika berhadapan dengan tentera Islam dalam peperangan Qadisiah. Dari tilikannya, dia mendapat alamat bahawa mereka akan kalah, lalu dia mengambil keputusan untuk menamatkan pertempurannya. Begitu juga dengan bendera dan panji yang dibawa ketika berperang. Dikatakan bahawa ianya mengandungi rajah-rajah tertentu yang dicacah dengan emas yang ada kaitan dengan simbol sihir. Dalam peperangan Qadisiah, bendera tersebut telah dikoyakkan dan Rastam sendiri telah mati dibunuh. Pengaruh agama Kristian dan juga Islam yang datang selepas itu sedikit sebanyak dapat membasmi kegiatan tukang sihir.


Di benua Asia, ilmu sihir dikatakan tersebar melalui negara China dan India. Menurut Donald Harper, pemerintah Dinasti Han seperti Lin Ch’e (140-87 SM) telah menjadikan istananya sebagai tempat berkumpulnya ahli sihir. semasa era Dinasti Yuan (Mongol) pula, pihak pemerintah telah menetapkan hukuman kelar hidup-hidup ke atas tukang-tukang sihir yang membunuh kanak-kanak bagi mendapatkan hati dan limpa untuk tujuan pemujaan roh. Hingga hari ini, China masih lagi mengekalkan beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir. Antaranya ialah Perkara 165 Undang-undang Jenayah Republik China yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi tukang sihir yang mengamalkan sihirnya bagi tujuan mendapatkan harta secara tipuan.


Islam pula mengakui kewujudan ilmu sihir tetapi melarang penganutnya dari terlibat di dalam amalannya dan ia dikategori sebagai salah satu dosa besar. Di dalam Al-Qur’an, perkara tentang sihir kebanyakannya disebut melalui paparan kisah-kisah yang terjadi pada zaman Nabi-nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bahkan terdapat juga hadis yang mengisahkan kejadian Nabi Muhammad SAW disihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al A’sam. Islam juga menetapkan hukuman ke atas pengamal-pengamal sihir. Ini boleh dilihat melalui satu athar yang diriwayatkan oleh Bujalah r.a. bahawa pada zaman Saidina Umar, beliau telah menetapkan bahawa hukuman bagi ahli tukang sihir ialah mati. Majoriti ulama Islam menetapkan hukuman bunuh terhadap tukang sihir.


Apabila Empayar Rom telah jatuh, maka Barat mula dilanda zaman gelap. Pada masa itu, ilmu sihir tersebar luas di eropah dan ianya sukar untuk dibendung. Menurut Martin Luther, amalan sihir pada zaman itu adalah satu perkara yang lumrah. Pihak gereja mengambil pendekatan mengawal kegiatan sihir dari sudut keagamaan. Ayat-ayat dalam Injil seperti Deuteronomi 18:11-12, Exodus 22:18, Leviticus, 20:27, Galatians 5:20, Revelation 21:8; 22:15; dan Acts 8:9; 13:6 menjadi justifikasi suci kepada para penganut Kristian untuk menghapuskan kegiatan sihir dan pengamalnya. Ramai raja dan pemerintah ketika itu turut membantah penggunaan sihir dalam masyarakat. Pada tahun 1326, Pope John XXII telah mengisytiharkan perang terhadap tukang sihir dalam usahanya untuk membanteras penggunaan sihir. Antara undang-undang yang pernah digunapakai semasa zaman Pertengahan Eropah ialah Kod Visigoth. Pada masa itu, ilmu sihir dilabelkan sebagai satu bentuk ajaran sesat, dan memperuntukkan bahawa pengamal sihir itu akan dibakar dipancang. Kegiatan membanteras amalan sihir dan pengamalnya semakin memuncak apabila buku Malleus Maleficarum atau lebih dikenali di Barat sebagai The Hammer of Witches telah diterbitkan pada tahun 1487. Pada tahun 1563, undang-undang yang diperkenalkan semasa awal pemerintahan Elizabeth I memperuntukkan bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan, mengamalkan atau melaksanakan apa-apa sahaja penyihiran atau penangkalan yang menyebabkan kematian atau kemusnahan kepada seseorang, maka dia dikira bersalah melakukan satu jenayah besar (felony) dan akan dihukum mati. Undang-undang ini telah diluaskan lagi perlaksanaannya oleh pengganti Elizabeth iaitu James I. Akta tersebut telah digantikan dengan Witchcraft Act 1736 semasa pemerintahan George II. Pada tahun 1951, akta tersebut pula telah dimansuhkan dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.


Undang-undang yang pernah wujud dalam tamadun-tamadun terdahulu membuktikan adanya kesedaran dalam minda pihak pemerintah tentang bahaya dan kesan negatif yang timbul dari amalan sihir. Ianya bukan sahaja boleh menyebabkan penderitaan kepada seseorang mangsa malah boleh meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat yang hidup dalam kerukunan boleh menjadi huru hara dan berpecah belah angkara sihir. Dari sudut pandangan agama pula, semua agama di dunia melarang keras penganutnya dari berkecimpung dan melibatkan diri di dalam amalan ini. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa usaha-usaha untuk memerangi dan membanteras pengamalan sihir bukanlah suatu yang baharu bahkan ia pernah dikuatkuasakan. Cadangan agar diwujudkan akta jenayah sihir untuk menangani jenayah sihir di Malaysia adalah sangat tepat dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Kajian bagi mengenalpasti kaedah-kaedah pembuktian dan keterangan dalam mahkamah perlu dilakukan oleh pihak berwajib demi memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang ancaman dari tukang-tukang sihir. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan:

“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes


http://blogs.iium.edu.my/ka_mokhtar/2009/12/24/amalan-sihir-perlu-dikekang-undang-undang/#comment-1319

Artikel Berkaitan Sihir - 1

Amalan Sihir Perlu Dikekang Undang-Undang
Posted on December 24th, 2009 in Syariah

Hukuman tegas ke atas pengamal ilmu hitam elak perbuatan syirik merosakkan masyarakat.


KEBELAKANGAN ini, stesen televisyen tempatan percuma mahupun berbayar dilihat begitu ghairah menayangkan drama berkisar kepada amalan sihir untuk tujuan yang tidak baik sama ada secara bersiri atau telemovie. Drama seperti Anak Betong, Cucu Betong dan Nenek Kebaya misalnya secara terang-terangan menceritakan amalan sihir atau ilmu hitam untuk kepentingan peribadi dan menganiaya orang lain kerana dikuasai sifat hasad dengki, benci serta dendam.


Kisah yang dipaparkan dalam drama itu tiada kaitan dengan orang yang hidup atau mati tetapi kadang kala sedikit melampau kerana diselitkan adegan tidak logik atau menjangkaui pemikiran manusia yang hidup pada zaman serba canggih ini. Namun apa yang boleh penonton khususnya umat Islam pelajari daripada drama yang kononnya seram itu ialah sihir boleh digunakan secara meluas kerana tiada undang-undang yang melarangnya.


Pengamal ilmu itu tidak juga boleh disabitkan kesalahan jika mangsa yang dianiayai menderita atau lebih teruk, meninggal dunia. Hampir semua drama itu diakhiri dengan pengamal sihir (orang yang membuat sihir atau pihak yang arahkan) menerima balasan sewajarnya dengan perbuatan jahat yang dilakukan seperti pepatah ‘orang yang berbuat jahat dibalas jahat’.


Kita tidak boleh mempersalahkan pengarah drama itu atau menuduh pihak produksi cetek ilmu apabila tidak menyelitkan elemen perundangan kerana hakikatnya negara kita tiada undang-undang sihir. Dengan situasi semasa yang mana amalan sihir seperti menjadi keperluan untuk mencapai kepentingan peribadi termasuk kepada orang Islam, sudah sewajarnya pihak berkuasa memikirkan untuk merangka undang-undang bagi mengekang amalan syirik itu daripada terus berleluasa.


Seperti ditegaskan tokoh agama terkenal, Datuk Dr Haron Din, wujud keperluan mendesak supaya undang-undang sihir diwujudkan di negara ini kerana amalan itu semakin berleluasa dan mengancam akidah umat Islam.


“Berdasarkan keadaan semasa, eloklah difikirkan cara yang sesuai. Sudah tiba masanya kita ada undang-undang. Allah tidak akan ubah situasi tetapi masyarakat yang berhak mengubahnya,” katanya selepas menjadi ahli panel pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di Shah Alam, baru-baru ini.


Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pula berpendapat semua mufti di setiap negeri seharusnya memikirkan permasalahan itu dengan serius kerana amalan sihir ibarat ‘duri dalam daging’ kepada umat Islam.


“Pengamal undang-undang boleh memberi idea untuk kerajaan mewujudkan undang-undang sihir supaya pengamal sihir boleh dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada orang lain,” katanya.


Sihir adalah amalan menggunakan kuasa jahat yang sukar dilihat oleh pancaindera bertujuan menganiayai orang lain dengan pelbagai cara yang menyakitkan dan menyeksakan mangsa. Ibnu Khaldun mentafsirkan sihir sebagai ilmu untuk menghasilkan kesan negatif kepada mangsa dengan menggunakan anasir jahat daripada kekuatan kuasa ghaib (makhluk halus) bagi tujuan jahat yang tersembunyi.


Ad-Duktur Abdullah Mohd At-Toyyar pula mentafsirkan sihir sebagai azimat dan jampi mantera yang dilakukan pengamalnya yang memberi kesan negatif kepada hati (emosi) seseorang atau menyakitinya atau membunuhnya. Hujah bahawa pengamal sihir sukar dikenakan tindakan kerana pembuktiannya rumit tidak boleh dijadikan alasan oleh pihak berkuasa kerana ilmu hitam itu mempunyai rutin amalan.


Haron berkata, pengamal sihir kebiasaannya memerlukan bilik khas, tengkorak haiwan, tasbih, senjata lama seperti pedang dan keris, kain kuning atau biru, kemenyan dan semua itu boleh dijadikan bahan bukti untuk pendakwaan.


“Walaupun pembuktian amalan sihir lebih sukar berbanding kes bunuh, rompak atau jenayah lain, semua rutin dan barang yang digunakan dalam pemujaan boleh dijadikan bahan bukti,” katanya.


Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah disihir oleh ahli sihir pada zamannya dan Baginda mengambil tindakan sewajarnya yang menunjukkan fenomena sihir itu mesti ditangani pihak berwajib mengikut peredaran zaman.


Haron berkata, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sihir adalah satu daripada tujuh perkara yang membinasakan pelakunya iaitu paling utama syirik kepada Allah, kedua adalah sihir dan ketiga kerana membunuh. Katanya, sudah jelas bahawa sihir lebih teruk daripada membunuh dan hukumnya sudah tentu haram berdasarkan keterangan itu dan beberapa dalil lain.


Katanya, dalil lain juga menjelaskan bahawa pengamal sihir itu kufur dan menyebabkan akidahnya rosak yang disengajakan, maka ia sama seperti murtad. Masyarakat Islam memahami dan menerima sihir adalah perbuatan syirik dan secara lisan menolak perbuatan itu tetapi masih ramai yang melakukan amalan yang menjurus kepada syirik.


Contoh paling ketara adalah sihir pengasih, ilmu bagi rumah tangga yang berdepan masalah orang ketiga, ilmu untuk pisahkan suami dengan orang ketiga, ilmu pemanis seri muka, ilmu supaya suami ikut cakap, ilmu pengikat kasih sayang suami, ilmu menggoda hati, minyak pengasih, minyak buluh perindu, serbuk mesra, ilmu pengasih Imam Mahadi dan ilmu penunduk untuk suami yang dikatakan mempunyai khasiat tiga dalam satu yang didakwa lebih mujarab daripada ilmu penunduk Nabi Sulaiman.


Walaupun sihir itu dinamakan pengasih, ilmu itu memudaratkan pasangan yang dituju kerana amalan itu mengandungi elemen paksaan pada pemikiran dan perasaan seseorang. Kesannya, institusi keluarga dan hubungan pasangan suami isteri akan bermasalah selepas mangsa menerima rawatan dan unsur paksaan pada pemikiran dan perasaan telah pun hilang.


Oleh kerana amalan sihir membawa kesan buruk seperti mangsa jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab jelas, bermusuhan, bercerai-berai, gila, runsing yang kronik malah membawa maut, seharusnya pengamal dan orang yang mengarahkan sihir itu dikenakan hukuman berat. Amalan sihir juga seperti mencabar kuasa Allah, seolah-olah mereka lebih berkuasa membawa kemudaratan dan manfaat menyebabkan umat Islam keliru terhadap kekuasaan Allah.


Haron berkata, sihir itu haram mengikut syariat Islam kerana kesannya terhadap keimanan kepada Allah dan sumber ilmu diperoleh daripada syaitan. Atas dasar itu, katanya, pelakunya perlu dihukum bunuh seperti diriwayatkan At-Tirmizi bahawa hukuman terhadap ahli sihir adalah bunuh dengan pedang.


Haron bagaimanapun lebih cenderung mencadangkan supaya pengamal sihir itu dikenakan hukuman mengikut takzir iaitu diserahkan kepada hakim untuk menen-tukannya mengikut budi bicara dan bersesuaian dengan jenis kesalahan. Antara hukuman itu, buang daerah, penjara sekadar difikirkan patut, sebatan (mengikut syarak), mengikuti kursus pemulihan akidah selepas jalani hukuman dan dipantau rapi supaya kesalahan tidak diulangi.


Katanya, kes takzir memerlukan pembuktian lebih ringan dan mudah dengan bukti langsung, tidak langsung dan bukti sampingan lain berbanding hukum hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah. Dalam kes hudud, jika ada sedikit saja syubhah maka kes itu mesti digugurkan berdasarkan hadis Rasulullah yang menyuruh hakim melepaskan tuduhan hudud jika ada syubhah.


Orang Melayu khususnya di kampung dan pedalaman yang terlalu percaya kepada bomoh, dukun atau pawang perlu lebih berhati-hati kerana pengamal sihir kebiasaannya berselindung di sebalik gelaran itu.


Mereka perlu memastikan rawatan atau ikhtiar yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum Allah, memastikan doa serta jampi dalam bacaan atau ruqyah memenuhi tiga syarat iaitu menggunakan ayat al-Quran, hadis atau doa yang difahami, berdoa menggunakan bahasa yang difahami dan berkeyakinan penuh hanya Allah yang menyembuhkan manakala manusia hanya berusaha.


Selain itu, mereka juga disyaratkan berzikir dengan perkataan yang tidak difahami bahasa dan maknanya (kemungkinan memuja nama syaitan), sembelih kambing, ayam atau merpati hitam dengan menyebut perkataan tertentu yang dilarang dan akhirnya membunuh orang Islam untuk diambil darah dan dipuja bagi menjamu makhluk halus.


Mufti, tokoh agama, pengamal dan penggubal undang-undang seharusnya memikirkan secara serius untuk merangka undang-undang sihir bukan saja untuk orang Islam malah bukan Islam kerana ilmu hitam itu merentasi agama dan bangsa.


Tuan Nazuri Tuan Ismail

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20091222230840

Friday, January 15, 2010

News from Selangorkini

Mufti Lancar Perang Terhadap Pengamal Ilmu Sihir

Rabu, 16 Disember 2009 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 16 Dis - Jabatan Mufti Selangor dan Professional Islamic Support and Nature Group menggesa agensi perundangan agama Islam Persekutuan mengambil tindakan tegas ke atas pengamal-pengamal sihir.

Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata satu usul akan diserahkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mesyuarat Muzakarah Fatwa Kebangsaan menggesa satu enakmen perundangan baru diperkenalkan.

Ini bertujuan supaya kes-kes berkaitan amalan sihir dapat ditangani mengikut enakmen perundangan yang lebih jelas.

“Apabila telah dibincangkan dalam muzakarah pakar ini maka satu kertas yang lengkap akan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa.kemudian,oleh kerana ini adalah isu-isu nasional bukan isu setempat mestilah dibawa dalam mesyuarat muzakarah fatwa kebangsaan.Jadi dari mesyuarat kebangsaan ini menjadi kelazimannya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah dibawa balik ke negeri untuk diwartakan.Setelah diwartakan barulah boleh dibuat penguasaan,” katanya.

Tamyes berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan muzakarah itu di Dewan Annex, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pagi tadi.

Muzakarah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosi’ ini disertai penceramah bebas, Datuk Dr Harun Din dan Ustaz Hanafi Abd Rahman yang bertindak sebagai pembentang kertas kerja.

Muzakarah kali ke enam itu dihadiri 140 cendiakawan Islam, pengamal undang-undang dan ahli akedemik dari insititusi pengajian tinggi tempatan.

“Merangkumi kepada sesiapa sahaja pengamal,kalau sekiranya ini telah dilaksanakan sebagaimana hukuman jenayah kita tidak memandang sama ada orang Islam ataupun tidak Islam asalkan dia sebagai rakyat yang patuh kepada undang-undang di negara kita,jadi dia kena terima dan menghormati apa yang telah ditetapkan pemerintah.Itu setelah sampai perlaksaan hukuman sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Harun turut mengesyorkan hukuman takzir dikenakan keatas pelaku sihir beragama Islam sekiranya undang-undang berkaitan perkara itu diperkenalkan.

“Takzir ialah hukuman yang kita berikan hak authority kepada kadi kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman,kita bagi range diantaranya penjara sebagai contoh ,6 bulan,setahun, 6 tahun,buang daerah sebagai contoh ataupun sebat.Tapi saya nak syorkan dia bukan dengan denda kewangan,” katanya.

Kata Dr Harun, hukuman dalam bentuk denda kewangan tidak digalakkan kerana ia gagal menyedarkan pengamal dari kelompok berada atau berkedudukan tinggi.

“Jadi saya cadangkan ambillah takzir ini sebagai pengajaran,jika dia kaya macammana pun jika dia buat sihir dia kena masuk penjara atau sebat.Itu sebagainya caranya untuk mengelakkan buat sementara.Ssaya tidak cadangkan lagi dihukum bunuh,” katanya.

Reference
http://www.selangorkini.com.my/my/berita/8615

Thursday, January 14, 2010

Answer to Comments on Ustaz Trimizi

Below is a part of statement made by Pisang Mesir with regard to "Penafian and Penjelasan" made by Darussyifa

{"Dalam mendasari isu dan polemik yang timbul, kita harus memahami latar belakang kenapa Darussyifa mengeluarkan "Penafian dan Penjelasan" berkenaan Ustaz Trimizi Zainal yang dipamerkan di laman web Darussyifa' [di www.darussyifa.org ]

Pihak Darussyifa telah menerima beberapa aduan yang mendakwa Ustaz Trimizi mewakili Darussyifa dan juga mendakwa Ustaz Trimizi adalah dari Darussyifa. Ianya hanyalah hasil dari sedikit silap faham dan tanggapan yang timbul.

Untuk memudahkan Darussyifa menjawab dakwaan tersebut, satu kenyataan telah diletakkan di laman web mereka. Kenyataan tersebut LANGSUNG TIDAK menuduh Ustaz Trimizi pernah mengeluarkan kenyataan mewakili Darussyifa atau beliau dari Darussyifa. Ia adalah langkah berjaga-jaga (preventative action) dengan menggunakan ungkapan "JIKA SEKIRANYA....".

Darussyifa juga LANGSUNG TIDAK mengaitkan isu ini dengan PISANG, dan hubungan PISANG dengan Darussyifa tidak terjejas sedikit pun.}

>>>read more. Go to Pisang Mesir weblog at (http://pisang-mesir.blogspot.com)

Wednesday, January 13, 2010

Comments on Ustaz Trimizi

Baru-baru ini pihak Darussyifa telah mengeluarkan kenyataan penafian dan penjelasan mengenai Ustaz Trimizi Zainal. Sila rujuk muka depan darussyifa.org.

Tuesday, January 12, 2010

Congratulation

Alhamdulillah and congratulation to five IMTC participants who passed "Bacaan" test which was conducted on 15 December 2009.

On 17 December, a small ceremony was held at Masjid Darul Imaan, Arncliffe to award "Bacaan" examination certificate to the successful participants.

Those who were not able to take the test due to other commitments and time constraint, InsyaAllah will be able to do so this year.